Monday, January 26, 2009

Hasil Nukilanku...Novel Kerjayaku..


Aku terpaksa memandang kertas di tanganku. Aku tergamam. Mata kupejam celikkan. Ada debar bercampur cemas, resah dan sebagainya seakan bergayut-gayut di tubir hatiku. Kenapa perkara yang tidak diduga ini terjadi dalam hidupku? Kenapa?YaAllah,kuatkanlah semangatku dan tabahkanlah hatiku. Di ruangan mata ada butiran yang cuba menerjah keluar, sedang di sisiku waktu berlalu kencang. Segala-galanya berlaku amat pantas. Pandanganku kabur. Musibahkah kini atau sebenarnya akukah yang lara? Haruskah aku berterusan begini? Atau beginikah berakhirnya hidupku yang aku impikan selama ini.Ketika kakiku semakin lemah, aku terus mencuba menggagahi diri. Ku renung kembali kertas di tangan. Merenung kembali bilah-bilah perkataan yang terpahat. Aku cuba menafikan. Runyam.

Aku memandang ke hadapan, pandanganku kosong, wajah kakak memintas ingatan, mataku pejam celikkan lagi. Satu perasaan yang sukar ku mengerti menjentik tangkai hatiku. Aku menghitung masa di jari waktu. Tempoh berbelas bulan yang kulalui dan inilah penghujungnya. Buat seketika aku merasakan aku seolah-olah berada di alam tidak sedar yang menempatkan semua ingatan, reaksi, pengalaman, emosi dan keperluan yang tak kusedari seperti yang diutarakan oleh pakar psikoanalitik, Sigmund Freud. Fikiranku kacau. Aku tidak dapat berfikir secara waras. Tiba-tiba terdengar suara berbisik ke telingaku…bagaimana Fadz?’’ suara mersik Ira menyapaku. Aku tidak berupaya menjawab, menoleh pun aku tidak berdaya. Aku rasa duniaku semakin gelap. Punah segala-galanya.

“Kau perlu hidup, mengeluh begini bukan penyudahnya. Kau akan semakin parah. Semuanya telah ditentukan. Demikian kehendakNya. Dapatkah kita mengatasi takdir?’’ ujar Ira sambil kedua-dua belah tangannya kini mengusap bahuku. Aku tahu Ira cuba untuk menenangkan hatiku. Ketika Ira masih cuba menghiburkan hatiku dan aku masih terus melayan senduku, Safina dan Puan Midah menghampiriku. “ Kau seorang pelajar yang cemerlang. Rata-rata guru mengakuinya, cuma nasib tak menyebelahi kau hari ini,’’ ujar teman sekelas, Safina yang sering menunjukkan muka masam kerana tidak pernah berjaya memintasku dalam setiap ujian sebelum ini.Safina meninggalkanku dengan kata-kata yang cukup mengguris hatiku. Aku terkasima memerhatikan sejuring senyuman di bibirnya seakan-akan menyindirku. Aku terasa amat bodoh sekali diperlakukan sedemikian. Kata-katanya betul-betul mencucuk jantungku.
“Agaknya kamu terlalu yakin ketika menghadapi peperiksaan kot. Kau memandang segala-galanya ringan sahaja. Suara sinis Puan Midah menyerbu gegendang telingaku. Kata-kata selanjutnya tidak jelas pada pendengaranku. Aku terlalu terhina ketika itu! Aku semakin diburu cemas mengenang Safina, anak saudaranya yang sering berada di belakang kini mendahuluiku dengan pangkat satu. Aku tertewas di gelanggang perjuangan sendiri. Alangkah tersisihnya aku hanya kerana gagal meraih pangkat satu dan alangkah hinanya seorang pelajar yang gagal mendapat pangkat satu di mata tenaga pengajar. Aku semakin sebak. Aku melangkah pantas. Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 yang menyimpan sejarah suka duka selama lima tahun semakin jauh kutinggalkan.

Aku tiba di rumah ketika matahari naik segalah. Emak sedang di dapur, dugaku. Ayah tentu seperti biasa, bekerja siang dan malam mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Emak menyongsongku ketika mendengar derap sepatuku. Aku membiarkan pertanyaannya tanpa berjawab. Aku melangkah lesu melihat wajah cerianya yang menyambutku di anak tangga tadi.Secalit senyuman yang terpalit pada wajahnya tambah menyesahkan nafasku. Melintasi emak, aku hanya menundukkan muka. Wajah suci bersihnya tidak sanggup aku tatapi. Aku beredar ke dapur. Kekusaman wajah tidak dapat kusembunyikan lagi. Aku merangkul emak erat-erat. Tangisan yang kubendung sejak pagi tadi akhirnya pecah diribaannya. “Saya gagal mak, saya gagal,” ucapku berulang kali. Emak melonggarkan rangkulanku. Mataku ditatapnya, pandangannya jauh menyucuk ke dalam anak mataku. Dia mendiamkan diri. Sorot pandangannya semakin melemaskanku. Aku terasa semakin terhukum. Aku tahu dia teramat kecewa, kerana tidak dapat melihat kejayaan yang aku inginkan selama ini. Aku tahu dia kecewa kerana tidak akan dapat melihat aku menjadi seorang pendidik yang berjaya dalam hidup. Aku gagal untuk memburu kerjaya yang aku impikan sejak kecil lagi iaitu untuk bergelar seorang guru atau pendidik yang berjaya dan seterusnya disegani oleh masyarakat. Aku gagal menggalas harapan kedua ibubapa dan keluargaku untuk melihat aku berjaya dalam hidup. Kenapa kegagalan yang aku peroleh setelah aku berpenat lelah selama ini mencari ilmu…..Kenapa???? Ya Allah, kenapa ujian seperti ini yang kau turunkan kepadaku…ya Allah…

“Terangkan Fadz…Emak menarik tanganku yang cuba untuk melepaskan diri daripada pelukannya.

INGIN MENGETAHUI KESUDAHAN KISAH INI....NANTIKAN SAMBUNGANNYA...

No comments:

Post a Comment